Hello mommies!

Penyusuan susu ibu secara eksklusif ini bermaksud bayi  hanya diberi susu ibu dalam masa 6 bulan pertama selepas kelahirannya. Dalam tempoh tersebut tiada makanan atau minuman lain diberikan pada bayi dan makanan pelengkap hanya dimulakan setelah bayi  berumur 6 bulan dan ke atas. Penyusuan ini juga perlu diteruskan sehingga bayi berumur 2 tahun.

kebaikan susu ibu

Kebaikan Susu Ibu

Bayi yang dilahirkan tidak berupaya untuk melindungi dirinya daripada sebarang penyakit kerana sistem pertahanan tubuhnya yang masih belum matang. Oleh itu, susu ibu mengandungi beberapa faktor anti infeksi (melawan jangkitan)  yang membantu menghindarkan bayi daripada pelbagai jenis jangkitan kuman, antaranya seperti berikut:

  • Laktoferin yang bergabung dengan zat besi (iron)  membantu mencegah perebakan bakteria usus.
  • Immunoglobulin (IgA) dan sel darah putih bertindak melawan kuman dalam badan. Kandungannya tinggi di dalam kolostrum.  Kolostrum merupakan vaksin pertama yang perlu diberikan kepada bayi untuk melawan bakteria dan virus.
  • Protein, vitamin A dan E berfungsi melindungi bayi daripada jangkitan kuman dan penyakit mata.
  • ‘Bile salt stimulated lipase’ berfungsi melindungi bayi daripada jangkitan ameba.
  • Faktor bifidus berfungsi untuk membantu bakteria khas iaitu lactobaccilus yang membiak di dalam usus bayi. Dengan adanya bakteria baik ini, bakteria tidak baik (patogenik) akan dihapuskan dan ini dapat menghindarkan bayi daripada penyakit.
  • Limfosit-limfosit dan makrofaj membantu melawan kuman yang masuk ke dalam badan bayi.
  • Agen anti keradangan melindungi bayi daripada mendapat kesan keradangan yang teruk.
  • Antibodi ibu boleh diberikan kepada bayi  melalui penyusuan susu ibu dan ini akan melindungi bayi daripada jangkitan kuman.
  • Faktor pembesaran seperti selenium, karotenoid asli dan nukleotida boleh membantu perkembangan dan kematangan sistem imun bayi. Kematangan sistem imun ini penting supaya badan bayi  berupaya untuk melawan penyakit yang mungkin menjangkitinya.

13 perkara tentang penyusuan susu secara ekslusif

  1. Bayi baru lahir memang kerap menyusu kerana susu ibu memang mudah hadam. Jadi, bayi mudah lapar dan kerap ingin menyusu,
  2. Kuantiti kolostrum memang sedikit tetapi cukup untuk keperluan bayi. Bayi hanya memerlukan 5 – 10ml setiap kali penyusuan pada hari pertama sehingga hari ketiga.
  3. Semakin kerap payudara dikosongkan, semakin cepat susu badan dapat dihasilkan. Oleh itu, kuantiti susu ibu akan bertambah mengikut kekerapan pengosongan payu dara.
  4. Untuk penghasilkan susu yang optimum, payudara perlu dikosongkan 8 – 12 kali dalam tempoh 24 jam sama ada dengan menyusukan bayi atau memerah payudara apabila berjauhan dengan bayi.
  5. Bayi berupaya untuk hidup selama 1 – 2 hari tanpa sebarang bekalan susu kerana kandungan perutnya masih mampu menampung keperluan pemakanannya.
  6. Ibu digalakkan untuk kerap menyusukan anak pada waktu malam kerana tahap prolactin yang tinggi ketika ini dapat meransang lebih banyak penghasilan susu ibu.
  7. Terdapat satu lagi hormone yang penting dalam penyusuan iaitu Feedback Inhibitor of Lactation(FIL)selain daripada prolactin dan oksitosin. Apabila payudara semakin penuh, kelenjar pituitary akan merembeskan hormone FIL sebagai petunjuk untuk memperlahankan penghasilan susu. Bila keadaan ini berlarutan, lama-kelamaan penghasilan susu akan berhenti.
  8. Ibu perlu berhati-hati semasa mencuci payudara. Elakkan daripada menyapu sabun pada bahagian aerola dan puting, hanya cuci dengan air suam.
  9. Sekiranya bayi mahu menyusu ketika ibu sedang mengepam, utamakan si baby dahulu. Biarkan bayi menyusu sepuasnya kerana hisapan bayi adalah rangsangan terbaik untuk menghasilkan lebih banyak susu badan. Selesai menyusukannya, ibu boleh kembali mengepam bagi memastikan payudara dapat dikosongkan sebaik-baiknya.
  10. Jika si baby hanya gemar menyusu sebelah payudara sahaja, ibu boleh pam payudara sebelah lagi. Ini untuk memastikan bahagian berkenanan boleh menghasilkan susu secara berterusan.
  11. Amalkan power pumping setiap hari, jika stok susu sedikit. Caranya: ibu perlu mengepam 10 minit- rehat 10 minit- pam 10 minit – rehat 10 minit dan pam 10 minit dalam tempoh sejam. Cara ini berkesan untuk meningkatkan penghasilkan susu badan.
  12. Minum air minimum 3 – 4 liter setiap hari kerana air adalah komponen utama susu ibu. Sebaik-baiknya air kosong ya.
  13. Sebelum tamat cuti bersalin, ibu perlu mengajar bayi menyusu susu ibu menggunakan kaedah alternatif selepas usianya 50 hari. Ibu tidak boleh menyusukannya sendiri tetapi minta bantuan keluarga seperti ayah atau nenek kepada bayi untuk melakukannya.

Ramai ibu yang sememangnya berniat menyusukan bayi secara eksklusif. Perkara ini bukan mudah kerana ibu perlu bertekad, berazam dengan sepenuh hati. Persediaan harus dimulakan semasa mengandung lagi dengan membaca dan mengumpulkan seberapa banyak ilmu tentang proses penyusuan. Mudah-mudahan, niat ibu untuk menyusukan bayi secara eksklusif boleh tercapai. Amin.

Semoga bermanfaat!

Always & Forever,

Eva Matt’s

Discovering Parenthood