Tahap pertuturan anak biasanya seiring dengan peningkatan usianya. Dianggarkan lima daripada 10 peratus kanak-kanak mengalami gangguan kelewatan pertuturan, dan sebagai ibu bapa kita perlu ambil tahu masalah kelewatan pertuturan ini kerana ia adalah petunjuk kepada masalah lain seperti masalah pendengaran, autism atau masalah lain.
5 Sebab Lewat Pertuturan

5 Sebab Lewat Pertuturan

Apabila masalah lambat bertutur berlaku, ibu bapa perlu merujuk kepada terapi pertuturan bahasa untuk mengetahui sama ada anak menghadapi masalah atau tidak. Apabila telah dikenal pasti anak anda bermasalah, ibu bapa boleh berbincang dengan pakar untuk membantu meningkatkan keupayaan pertuturan anak.
Ada 7 aspek pra-pertuturan yang harus dilalui oleh anak-anak sebelum bertutur. Kelewatan perkembangan pra-pertuturan ini boleh menjejaskan kemampuan bayi dan anak-anak untuk mula bertutur dan akhirnya berinteraksi sesuai dengan umur mereka.
Berikut beberapa panduan yang boleh membantu ibu bapa untuk mengenali pra-pertuturan anak pada usia satu hingga dua tahun.
7 Isyarat Anak Lambat Bertutur

7 Isyarat Anak Lambat Bertutur

1. Pandangan mata

Umumnya, hubungan mata akan dicapai ketika bayi berusia tiga bulan lagi. Anak yang berusia satu hingga dua tahun harus mempunyai hubungan mata / eye contact selama 10 saat. Jika anak anda mengelakkan pandangan mata pada tempat lain, anak itu mungkin mempunyai masalah dalam pertuturan.

2. Memberikan perhatian

Secara normal, seseorang anak itu boleh bermain permainan bersama dengan ibu bapanya dan memberikan perhatian kepada permainan dengan baik bermula dari usia enam bulan ke atas. Kemampuan memberikan perhatian ini menunjukkan anak memahami bahasa dengan apa yang berlaku disekelilingnya.
Lazimnya, apabila nama dipanggil anak akan memberikan tindak balas tetapi sekiranya anak tidak memberikan perhatian, ini adalah isyarat anak kita mengalami masalah kurang fokus yang boleh menyebabkan kelewatan pertuturan dan pembelajaran kelak.

3. Peniruan

Ketika anak berusia 12 bulan, dia seharusnya dapat meniru perbuatan dan bunyi perkataan sehingga muncul pertuturan jelas satu perkataan . Ketika berumur setahun enam bulan pula, anak boleh bertutur dua perkataan seperti “mama susu” atau “nak bola” dan boleh mengenal pasti anggota badan asas seperti tangan, mata, gigi dan sebagainya. Jika tiada sebarang peniruan perbuatan dan bunyi ketika umur 12 bulan, ia adalah petanda si kecil mengalami masalah perkembangan dan memerlukan rangsangan.

4. Konsep bergilir

Perkembangan berkomunikasi memerlukan kemahiran mendengar, menunggu, dan bergilir. Kemampuan awal bergilir ketika bermain dan berbual mula muncul bila anak berumur 12 bulan. Jika anak tidak mempunyai konsep bergilir dalam bermain atau berbual, ia menunjukkan tanda bahawa anak anda mungkin mengalami masalah pertuturan atau masalah lain.
Dalam permainan perbualan primitif ketika bayi berusia lapan bulan ke atas, jika ibu bercakap atau menyambut ujaran ‘ta,ta,ta’, anak pula akan mengikut dan menyambung ‘ta,ta,ta’ seperti mimik perbualan. Ini bermakna anak anda sudah boleh mengikuti pertuturan anda dengan baik mengikut tahap umur seiring perkembangannya.

5. Kefahaman simbolik ketika bermain

Sekiranya anak masih lagi tidak pandai bermain dengan permainannya dengan cara yang betul seperti melontar-lontar mainan dengan cara tidak bersesuaian, memasukkan mainan ke dalam mulut setiap kali bermain (selepas 1 tahun) atau hanya mahu melihat kitaran roda pada permainan kereta sahaja berulang-ulang kali, ini menunjukkan anak masih lagi tidak mempunyai kemahiran bermain dan menjadi petanda kelewatan perkembangan.
Bagi anak yang memahami kefahaman simbolik, dia akan bermain dengan cara betul mengikut jenis permainan seperti main buku dan bola. Anak akan menyepak bola dan memegang buku sambil melihat gambar menarik. Ini menunjukkan si kecil mempunyai kefahaman untuk bermain dengan cara yang betul.

6. Permainan padanan gambar

Permainan padanan gambar memerlukan tumpuan dan selepas berumur 18 bulan ke 24 bulan, anak harus boleh memadankan gambar dengan objek sebenar. Bila anak berumur dua tahun enam bulan, si kecil seharusnya boleh memadankan gambar yang sama dan menamakan gambar tersebut.
Tetapi, sekiranya anak masih tidak dapat memadamkan gambar yang sama atau tidak menunjukkan minat langsung, maka ini adalah salah satu petanda masalah perkembangan bahasa, kognitif dan sebagainya.

7. Kawalan pernafasan

Jika anak boleh menyebut ‘mama,mama’ bermakna anak anda boleh mengawal pernafasan dengan baik. Bagi anak yang lewat pertuturan, si kecil mungkin mengalami masalah kawalan pernafasan untuk tujuan bertutur dan bermain seperti meniup belon atau lilin.

Secara umumnya, semua kanak-kanak mempunyai tahap perkembangan pertuturan yang berbeza tetapi jarak kelewatan tidak harus lebih dari tiga hingga empat bulan dari kanak-kanak biasa. Jika anak menunjukkan perkembangan yang tidak seiring dengan usianya, ibu bapa boleh berjumpa dengan pakar pediatrik atau terapi pertuturan untuk mendapatkan nasihat.
Semoga bermanfaat!

Always & Forever,

Eva Matts | 0138187984

Stories of AveHeart – Discovering Parenthood.