hello beautiful
Percaya atau tidak, kanak-kanak juga boleh mengalami stres hingga boleh menimbulkan kemurungan. Bila kanak-kanak mengalami tekanan emosi, dia akan lebih suka berseorangan, termenung, meragam, kelihatan tidak bermaya, kurang gembira dan mesra seperti biasa.
Mereka juga mungkin akan menjadi lebih pemarah, resah, kurang sabar dan tidak suka ditegur dan menunjukkan pelbagai corak tingkah laku yang tidak menyenangkan.

Terdapat beberapa panduan untuk membantu kanak-kanak mengatasi tekanan yang dihadapi.

#1 Berkomunikasi

Ibu bapa perlu berkomunikasi dengan anak-anak untuk mengetahui apa yang mereka diingini. Biarkan anak meluahkan isi hatinya dan rasa tidak puas hatinya kepada anda. Dengan cara ini, anak akan menyedari bahawa komunikasi mampu memberikannya peluang untuk membuat pilihan.
Jika anak meluahkan perasaan dan menginginkan sesuatu, jangan sesekali menidakkan perasaan anak tersebut. Mungkin ada ibu bapa yang menganggap anak cuma mengada-ada tetapi bila emosi anak diterima dengan baik, ia akan mengajar anak untuk berterus-terang dan menerima dirinya dengan baik.

#2 Beri tanggungjawab kepada anak

Sediakan tugasan yang perlu dilakukan oleh anak. Tugasan yang diberikan boleh mengajarnya bagaimana menyusun dan merancang kerja seterusnya mengajar anak untuk mengawal tekanan yang dihadapi.

#3 Aktiviti fizikal

Bawa anak melakukan aktiviti fizikal seperti berjalan-jalan di taman permainan, menunggang basikal, bermain bola, meniup buih belon ke udara dan menari. Cara ini dapat memberikan ketenangan dan mengurangkan stres.
Ibu bapa juga boleh mengajar anak senaman pernafasan, bagaimana menarik dan hembuskan nafas. Lakukan berulang kali kerana senaman ini boleh memberikan lebih oksigen pada badannya dan dia akan rasa lebih rileks.

Tangani Anak Stress

#4 Tunjukkan minat kepada aktiviti anak

Mami boleh bertanya kepada anak apa yang berlaku kepadanya pada hari itu di tadika atau di taska. Anak pasti gembira dan seronok apabila ibu bapanya mengambil berat tentang dirinya dan mengurangkan keresahan yang dialaminya.

#5 Berikan kata-kata semangat

Berikan kata-kata semangat kepada anak sekiranya dia merasa kecewa bila menghadapi kegagalan. Ibu bapa juga boleh memberikan pelukan dan sentuhan kepadanya sebagai tanda bahawa anda menyayanginya. Cara ini boleh memberikan rasa tenang dalam diri anak dan kembali bersemangat.
Bina keyakinan dalam dirinya juga membantunya menghadapi masalah di tadika dan taska tanpa ada rasa rendah diri. Ini kerana anak boleh merasa tertekan bila mereka tidak mempunyai keyakinan dalam diri.

#6 Pergi melancong atau sertai program luar

Beri peluang kepada anak untuk memilih lokasi percutiannya supaya dia merasa dirinya disayangi oleh ibu bapa walaupun sibuk dengan kerjaya. Selain itu, beri peluang kepada anak menyertai program luar yang sesuai dengan umurnya. Dia pasti seronok bermain dengan kanak-kanak sebaya dengannya.

#7 Beri anak masa untuk berehat

Kanak-kanak juga memerlukan masa untuk berehat. Berikan anak ruang privasinya tanpa ada gangguan. Anak mungkin merasa keletihan dengan rutin harian di taman asuhan yang mempunyai pelbagai program.

 

Semoga bermanfaat

www.aveheart.com