Hello Beautiful
Untuk mereka yang pertama kali bergelar ibu bapa mungkin sukar untuk mengetahui mengapa seorang bayi itu menangis. Seperti Eva bila pertama kali bergelar ibu, bila anak menangis tanpa sebab panik jugalah. Macam-macam teknik memujuk untuk menenangkan Sora yang sedang menangis. Kadang-kadang stress juga bila Eva tidak berjaya memujuknya. Bila dah anak ketiga ini boleh sudah tahu apa yang perlu dibuat bila anak kecil menangis, belajar dari pengalaman anak-anak sebelumnya. Bayi menangis bukan lagi satu masalah besar yang membebankan.

Adakah bayi lapar, sejuk, haus, bosan atau sekadar mahu dipeluk?

Perlu diketahui terdapat beberapa perkara asas mengapa seseorang bayi itu menangis. Sebaiknya bila si kecil kita menangis, terlebih dahulu cari puncanya agar mudah menenangkannya.

8-punca-bayi-menangis-yang-perlu-ibu-ketahui-agar-mudah-menenangkannya

Beberapa kemungkinan punca yang menyebabkan bayi menangis:

1. Lapar

Lapar adalah sebab utama bayi menangis. Bayi inginkan susu bagi memenuhi keperluannya. Pergerakan seperti menghisap jari atau mengerak-gerakkan mulutnya ke kiri dan ke kanan mencari susu ibunya adalah tanda bayi ingin minum susu. Bayi yang baru lahir hanya memerlukan kuantiti susu yang sedikit kerana perut mereka belum dapat menyimpan banyak. Oleh itu, dia akan kerap lapar. Berikan penyusuan kepada bayi sehingga dia berhenti menyusu sendiri.
Jika bayi sudah disusukan dan dia masih lagi menangis, mungkin dia menyatakan keperluannya yang lain.

2. Penyakit

Penyakit seperti demam, selesema, batuk atau lain-lain penyakit mungkin menyebabkan si kecil menangis terutamanya jika bunyi tangisannya berbeza daripada biasa. Sekiranya bayi menunjukkan sebarang simptom luar biasa ibu boleh bawanya berjumpa doktor.
Kadang-kadang hidung tersumbat akibat selesema mungkin menghalang bayi untuk menyusu atau menghisap jarinya. Oleh itu, bayi tidak dapat menenangkan dirinya dengan cara biasa dan menangislah caranya.

3. Kolik

Secara kasarnya, kolik dimaksudkan sebagai terasa sakit yang mencengkam di dalam perut. Kolik dicirikan oleh satu corak jeritan yang tetap, asyik dan tidak dapat ditenangkan dan berlaku pada satu masa tertentu setiap hari, biasanya lewat tengah hari atau petang.
Corak ini timbul bila bayi berusia kira-kira tiga minggu dan berterusan hingga usia 12 atau 14 minggu. Jangka masa tangisan mungkin berlarutan selama tiga jam. Masalah kolik tidak berbahaya tetapi kita mungkin salah mendiagnosisnya dan tidak menyedari wujud simptom lain yang serius.

4. Ruam

Masalah ruam lampin atau punggung yang sakit merupakan salah satu punca bayi menangis. Jika punggungnya sakit, ibu perlu tanggalkan kain lampinnya, bersihkan dengan sempurna dan biarkan bayi dalam keadaan tanpa lampin sepanjang hari. Ibu perlu ambil langkah segera untuk menghentikan ruamnya daripada menjadi lebih teruk.

5. Penat

Bila bayi terlalu penat, dia akan menunjukkannya menerusi rengekan, kemarahan dan akhirnya tangisan. Lebih-lebih lagi bayi yang sudah pandai merangkak atau berjalan, dia mungkin kehabisan tenaga dan keadaan tersebut membuatkan dia menangis. Oleh itu, bayi memerlukan ibunya untuk membolehkannya melelapkan mata sebagai rehat yang diperlukannya.

6. Rutin harian yang tidak disukai

Terdapat rutin harian yang mungkin membuatkan bayi kurang selesa lalu menangis seperti memakai, menanggalkan pakaian dan mandi. Apa yang boleh ibu lakukan ialah lakukan aktiviti tersebut secepat mungkin kemudian belailah bayi untuk menenangkannya.

7. Keadaan persekitaran

Keadaan persekitaran yang kurang selesa boleh menjadi punca bayi menangis. Bayi mungkin merasa panas atau kesejukan lalu merasa rimas dengan keadaan tersebut. Cahaya terang juga boleh menyebabkan bayi menangis. Pastikan lampu atas atau sinaran matahari tidak menyinari matanya.

8. Hanya mahu dipeluk

Kadang-kadang bila banyak kekalutan seperti mendukungnya silih berganti, menukar lampin yang tidak perlu atau terus menerus memberikan penyusuan membuatkan bayi lebih terganggu. Jadi, dia akan menangis lebih kuat lagi. Apa yang bayi perlukan mungkin hanya perhatian ibu dan mahu dipeluk untuk menjadi lebih selesa.
Hanya mahu digendong si Emico nih :)

Hanya mahu digendong si Emico nih 🙂


Menjadi ibu atau bapa bayi baru lahir merupakan tugas yang berat lebih-lebih lagi berhadapan dengan dengan bayi yang banyak menangis. Dapatkan bantuan dan sokongan daripada suami atau keluarga apabila ibu memerlukannya. Belajar untuk bertenang dan sentiasa ingat bahawa apabila bayi semakin membesar, dia akan mempelajari cara baru untuk memberitahu keperluan dia kepada kita.

www.aveheart.com