Hello Beautiful1
Pernahkah mami mendengar kawan-kawan bercerita mengenai episiotomi? Mesti pernah kan dan maybe mami merasa ngilu bila teringat pengalaman tersebut. A little bit scary? Hehe.
Untuk anda yang pertama kali hamil dan mendengar kawan-kawan bercerita tentang episiotomi, jangan risau. Prosedur episiotomi ini hanya akan dilakukan dalam keadaan tertentu. Mami perlu dapatkan maklumat sebanyak mungkin agar mami siap menghadapi proses kelahiran nanti.

Apa itu episiotomi?

Episiotomi

Episiotomi

Prosedur episiotomi ini melibatkan potongan menggunakan gunting khas di kawasan perineum. Potongan tersebut mungkin dilakukan di garisan tengah atau menyerong dari kawasan luaran faraj (intraoitus) hingga ke punggung.
Dalam prosedur ini, bius akan disuntik ke kawasan perineum terlebih dahulu.  Kemudian, potongan episiotomi dilakukan ketika perineum meregang dan menipis. Ia kemudiannya dijahit sebaik sahaja bayi dan uri berjaya dikeluarkan.

Sebab-sebab Prosedur Episiotomi Dijalankan:

  1. Bahu bayi tersekat (shoulder dystocia). Potongan episiotomi adalah salah satu langkah yang disarankan oleh kumpulan antarabangsa – Advanced Life Support for Obstetrics (ALSO) bagi membolehkan bayi dikeluarkan dari ibu dalam keadaan yang cemas.
  2. Bayi bersaiz besar.
  3. Otot perineal yang keras dan tidak anjal.
  4. Timbul masalah stress kepada bayi atau fetal bradycardia ketika proses meneran.
  5. Koyakan yang bakal dialami lebih teruk dan besar sehingga melibatkan dubur dan boleh meningkatkan risiko jangkitan kepada ibu.

Perkara Yang Mami Perlu Tahu Tentang Episiotomi

Sekiranya ketika proses melahirkan mami perlu menjalani prosedur episiotomi, luka jahitan tersebut perlu dijaga dengan baik. Luka jahitan seharusnya tidak mengambil masa lebih daripada seminggu untuk kelihatan pulih daripada luaran.

Beberapa tip legakan jahitan episiotomi:

  1. Kerap mandi suam tetapi pastikan anda tekap bahagian yang dijahit perlahan-lahan dengan tuala lembut yang bersih.
  2. Dedahkan bahagian terbabit ke udara selama 10 minit sekali atau dua kali sehari supaya ‘pengudaraan’ berlaku.
  3. Jika anda merasa sakit ketika duduk, tempatkan pelampung kanak-kanak atau tuala yang dibentukkan seperti donut di atas kerusi sebelum duduk diatasnya.
  4. Boleh juga guna pad gel dingin atau ice-pack. Kedinginan tersebut akan mengebaskan bahagian jahitan dan mengelakkannya daripada bengkak.
  5. Jirus kaki dengan air ketika membuang air kecil atau besar. Ini dapat mengelakkan jahitan menyakitkan anda.
  6. Amalkan senaman lantai pelvik untuk melancarkan peredaran darah di bahagian berkenanan. Ia berkesan dalam menyembuhkan luka dengan segera.
  7. Kerap berjalan untuk menggalakkan peredaran darah dan mempercepatkan proses penyembuhan.
  8. Jumpa doktor dengan segera sekiranya sakit yang dialami berterusan, Dikhuatiri luka episiotomi terkena jangkitan kuman.

www.aveheart.com