Hello Beautiful!

Hello, Mommies

Semakin hampir ke tempoh bersalin boleh mengundang beberapa ketidakselesaan. Saiz bayi yang semakin membesar di samping posisinya di dalam rahim menyebabkan ibu kurang selesa. Walaupun merisaukan mami, itu adalah perkara biasa.
Kebanyakkan daripada ketidakselesaan ini disebabkan oleh perubahan hormon atau badan mami mengalami tekanan daripada biasa ketika hamil.

Berikut 11 masalah ketidakselesaan ibu alami di akhir kehamilan dan tips untuk menanganinya.

#1. Payu dara membesar

Bila berada di trimester akhir, tisu payu dara mungkin bertambah sehingga 1kg dan mommies mungkin tidak lagi selesa dengan pemakaian coli sedia ada.
Cara mengatasi:
  • Dapatkan coli menyusu yang bersesuaian dengan saiz terkini payu dara.

#2. Pedih ulu hati

Rahim yang membesar akan menolak perut keluar dari kedudukan asal sehingga boleh menyebabkan pedih ulu hati.
Cara mengatasi:
  • Atur pola makan dengan makan dalam jumlah yang kecil tetapi kerap.
  • Elakkan makanan bergoreng, berempah, minuman berkarbonat dan jus sitrus.
  • Pastikan tiada tekanan di bahagian ulu hati dengan memastikan kedudukan bahagian atas tubuh dari kepala ke perut lebih tinggi. Bantal khas kehamilan boleh membantu.

#3. Kontraksi Braxton Hicks

Kontraksi Braxton Hicks ini hanya sebagai persediaan atau latihan awal sebelum rahim benar-benar melalui proses awal kelahiran bayi. Ia tidak menyakitkan dan hanya hadir dalam sela waktu yang tidak tetap. Tetapi, ia mungkin membuatkan ibu kurang selesa.
Cara mengatasi:
  • Dapatkan maklumat supaya dapat membezakan rentak kontraksi Braxton Hicks dan kontraksi sebenar.

#4. Sukar bernafas

Bila di penghujung kehamilan, ibu mungkin mudah merasa sesak nafas. Oleh itu, ibu perlu kekalkan postur tubuh yang baik.
Cara mengatasi:
  • Ketika tidur, gunakan bantal khas kehamilan agar dapat membantu melegakan tekanan di bahagian paru-paru.
  • Ambil masa untuk berehat sebentar ketika sibuk bekerja. Tarik nafas panjang perlahan-lahan sambil membayangkan udara segar memenuhi seluruh sel tubuh anda hingga ke janin. Kemudian, hembuskan nafas sambil merehatkan seluruh tubuh.
  • Lakukan senaman regangan ringan sambil duduk atau berdiri, contohnya dengan mengangkat kedua belah tangan ke atas.

#5. Sakit belakang

Apabila bayi semakin membesar, sendi antara tulang di bahagian pelvis mula meregang menyebabkan ibu merasa sakit belakang.
Cara mengatasi:
  • Bila mahu duduk, pilih kerusi yang mempunyai sokongan untuk bahagian belakang tubuh.
  • Letakkan pelapik panas atau pek ais bagi melegakan bahagian yang sakit.
  • Urut bahagian yang sakit.
  • Guna bantal khas kehamilan untuk menyandarkan bahagian bawah perut .
Tips Atasi Ketidakselesaan di Trimester Akhir

Tips Atasi Ketidakselesaan di Trimester Akhir

#6. Bengkak

Rahim yang membesar akan memberi tekanan kepada urat menyebabkan terjadinya bengkak kaki atau pergelangan kaki. Malah, air yang berlebihan akan menyebabkan muka dan kelopak mata bengkak terutamanya pada waktu pagi.
Cara mengatasi:
  • Untuk mengurangkan bengkak kaki, berbaring dan tinggikan bahagian kaki dengan meletakkan bantal di kaki.

#7. Kerap membuang air kecil

Posisi bayi yang semakin menghampiri pelvis di akhir trimester kehamilan menyebabkan tekanan pada pundi kencing. Jadi, ibu akan kerap membuang air kecil terutamanya waktu malam. Mungkin juga, ibu boleh membuang air kecil secara tidak sengaja ketika ketawa, batuk dan bersin.
Cara mengatasi:
  • Pakai pelapik seluar dalam.
  • Kerap melakukan senaman Kegel

#8. Berpeluh

Peningkatan hormon progesterone akan membuatkan mommies mudah panas dan kerap berpeluh.
Cara mengatasi:
  • Pakai pakaian yang diperbuat daripada fabrik yang boleh menyerap peluh.
  • Minum air dalam jumlah mencukupi untuk mengelakkan dehidrasi.

#9. Sukar tidur

Ibu akan mengalami kesukaran untuk tidur disebabkan oleh perut yang semakin membesar.
Cara mengatasi:
  • Tidur secara mengiring di sebelah kiri sewaktu tidur. Ini boleh mengelakkan rahim daripada menekan pembuluh darah besar di belakang rahim.

#10. Berat badan

Semasa mengandung, berat badan ibu mungkin naik di antara 11 hingga 16kg. Penambahan berat badan ini memberikan tekanan kepada seluruh tubuh terutamanya di bahagian belakang tubuh yang terpaksa menampung berat kandungan.
Cara mengatasi:
  • Sentiasa mengawal pemakanan.
  • Jaga postur badan.
  • Gunakan kasut bertumit rendah.

#11. Sakit kepala

Mungkin bila berada di trimester akhir, ibu akan merasa stress seterusnya sakit kepala.
Cara mengatasi:
  • Elakkan diri daripada stress sehingga hilang kawalan. Cuba latih diri untuk mengawal keadaan dengan melakukan meditasi.

Semoga perkongsian ini bermanfaat!
Psst: Ketahui lebih lanjut tentang Pola Tidur Bayi 0 – 12 Bulan untuk persediaan mami selepas bersalin. Have an amazingtastic day!
www.aveheart.com

www.aveheart.com