hello beautiful
Penjagaan gigi si kecil haruslah bermula sebaik sahaja gigi bayi tumbuh. Penjagaan kesihatan pergigian bayi dan kanak-kanak memerlukan pemerhatian dan penjagaan awal yang teliti serta berkesan. Dengan itu, ia memerlukan ilmu pengetahuan, kesedaran dan keprihatinan daripada pelbagai pihak terutamanya ibu bapa atau penjaga.

Ibu bapa perlu mendidik anak-anak untuk menjaga gigi mereka supaya sentiasa sihat dan cantik sehingga dewasa.

Gigi susu pertama mula tumbuh pada usia bayi 6 hingga 8 bulan dan set gigi susu akan tumbuh dengan lengkap ketika umur kanak-kanak mencecah 3 tahun. Gigi susu bawah depan akan tumbuh dahulu diikuti gigi susu depan atas. Bila semua gigi susu tumbuh, 10 batang gigi akan berada di bahagian rahang atas dan 10 batang gigi akan berada di bahagian rahang bawah.
Gigi harus dijaga rapi bermula gigi susu tumbuh sampai ia digantikan dengan gigi kekal. Gigi kekal pula sepatutnya bertahan sepanjang hayat. Gigi susu kanak-kanak digunakan untuk mengunyah makanan, bercakap dengan jelas dan memupuk rasa harga diri yang baik. Ibu bapa perlu melindungi gigi anak dari kerosakan atau pereputan gigi susu yang menyakitkan.
Tip Mudah Penjagaan Gigi

Tip Mudah Penjagaan Gigi

Tips Untuk Penjagaan Gigi Si Kecil:

#1 Kenalkan anak dengan menggosok gigi sejak dari kecil

Apabila gigi mula tumbuh, mami perlu mengelap gigi dengan menggunakan kain basah yang bersih setiap hari. Balut kain pada jari dan lapkannya perlahan-lahan pada gusi bayi. Sekiranya gigi belum tumbuh, mami boleh juga bersihkan gusi bayi setiap hari.
Biasanya pada usia 6 – 8 bulan, gigi bayi mula tumbuh. Mami boleh perkenalkannya dengan berus gigi kanak-kanak yang lembut. Apabila gigi lain mulai tumbuh, mulakan dengan menggunakan berus gigi khas untuk kanak-kanak yang kecil dan lembut.

#2 Pastikan kuantiti ubat gigi mencukupi

Gunakan hanya sedikit ubat gigi fluorida, kira-kira saiz kecil kacang pis. Mami perlu pilih ubat gigi yang sesuai kerana terdapat jenama yang mengandungi gula.

Fluorida adalah sejenis bahan mineral menghalang kerosakan gigi dengan menguatkan lapisan enamel gigi dan menyebabkan ia lebih tahan kepada serangan asid yang dihasilkan oleh bakteria.

Pastikan jangan terlalu banyak fluorida ditelan oleh anak kerana ia akan meningkatkan risiko white spots gigi anak.
Selain itu, ajar anak untuk meludah dan membilas mulut dengan sempurna selepas menggosok gigi. Jangan biarkan anak menelan ubat gigi tersebut.

#3 Temankan anak bila menggosok gigi

Mami perlu memastikan anak menggosok gigi sekurang-kurangnya dua kali sehari. Untuk memulakannya, ajar anak berdiri dihadapan cermin dengan anda dibelakangnya. Tunjukkan cara pergerakkan yang betul untuk memberus dengan memegang tangannya. Teruskan menemani anak untuk menggosok gigi untuk memastikan dia menggosok gigi dengan cara yang betul dan menggunakan kuantiti ubat gigi yang betul.
Bila anak sudah boleh menggosok giginya sendiri, mami boleh biarkan dia memberus giginya.

#4 Bawa anak berjumpa dengan doktor gigi

Mami boleh biasakan anak pergi ke klinik gigi agar dia tahu kepentingan penjagaan gigi. Mami juga boleh bertanya kepada doktor gigi tentang keperluan fluorida anak anda. Periksalah keadaan gigi anak anda seperti yang disyorkan oleh doktor gigi.

 

Cara mudah memberus gigi dengan betul:

  1. Mulakan dengan gigi atas. Berus gigi ke bawah dan jauhi gusi. Pastikan berus gigi si kecil boleh sampai ke bahagian atas gigi belakangnya.
  2. Selepas itu, gigi bawah. Berus gigi ke atas dan jauhi gusi. Pastikan berus gigi si kecil boleh sampai ke bahagian bawah gigi belakangnya.
  3. Teruskan dengan permukaan gigi kacip. Berus semua permukaaan gigi tersebut.
  4. Jangan lupa berus bahagian atas dan bawah gusi dalam gerakan membulat. Pastikan bahagian dalam dan luar gusi juga diberus.
  5. Jika ibu sukar untuk memberus gigi anak selepas menyusu, pastikan anak minum air masak selepas menyusu susu formula. Ia boleh mengelak karies gigi.

Bagaimana kerosakan gigi terjadi?

Jika gigi tidak digosok dengan cara yang betul, satu bahan berwarna kekuningan dan melekit yang dinamakan plak gigi akan terbentuk.

Plak mengandungi kuman bakteria yang akan melekat pada gigi.

Bakteria tersebut akan bertindak dengan gula untuk menjadi asid seterusnya menyerang dan mereputkan enamel atau lapisan luar gigi. Ini adalah permulaan kepada pembentukan karies gigi dan  sekiranya tidak dikawal ia akan merebak ke lapisan dalam gigi lalu mereputkan gigi dan membentuk gigi berlubang.
Bakteria di dalam karies boleh terus merebak dan menjangkiti pulpa yang mengandungi saraf dan salur darah gigi. Jika ini berlaku, kanak-kanak akan merasa sakit gigi dan gigi akan mati. Tanpa rawatan kepada gigi yang rosak, jangkitan bakteria akan terbentuk di hujung akar gigi dan pembentukan ‘abses’ atau bisul pada gusi akan berlaku.
Tip Mudah Anak Berus Gigi

Tip Mudah Anak Berus Gigi

Ibu ada tips untuk mendidik anak memberus gigi dengan mudah? Mami boleh juga baca Kenali Perubahan Sikap Si Kecil Bila Tumbuh Gigi. Jangan lupa komen dan share dengan mommies yang lain. Have a good day mami!

www.aveheart.com